comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Mahkota: 1,399 polis mengawal selia 20 pusat mengundi esok

Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar pada sidang media selepas Taklimat Khas Pilihan Raya Kecil DUN N.29 Mahkota di Sekolah Menengah Sains Sembrong di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh. FOTO: NSTP

KLUANG: Seramai 1,399 pegawai dan anggota polis bertugas mengawal selia keselamatan 20 pusat mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota esok.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mereka akan ditugaskan berada di lokasi-lokasi strategik yang sering berlaku kesibukan, kesesakan dan berpotensi menjejaskan keselamatan awam.

“Anggota dan pegawai polis akan memantau situasi serta mencegah sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam sepanjang berlangsung proses mengundi esok.

“Setiap saluran akan ditempatkan seorang anggota manakala dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi, 10 anggota ditugaskan memantau situasi selain anggota polis trafik serta Ops Cantas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Taklimat Khas Pilihan Raya Kecil DUN N.29 Mahkota di Sekolah Menengah Sains Sembrong di sini hari ini.

Beliau berkata, juga memberi jaminan bahawa segala langkah keselamatan telah diambil bagi memastikan masyarakat dapat menunaikan hak serta tanggungjawab sebagai pengundi dalam suasana yang selamat pada esok.

“Di samping itu, saya juga memberi jaminan bahawa sekiranya terdapat mana-mana kawasan yang terjejas akibat banjir, bantuan segera akan disalurkan bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang halangan,” katanya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihanraya Negeri (PRN) 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional dan Warisan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini