KLUANG: Polis mengeluarkan enam permit untuk berkempen kepada calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrain Mohd Noh berkata, satu permit membabitkan walkabout dan ‘speaker corner’ telah dikeluarkan kepada BN manakala empat lagi kepada PN membabitkan satu syarahan dan empat walkabout.
Sejak semalam BN dan PN memulakan kempen bagi merayu undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan diadakan pada 28 September ini.
DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, tentera dan pasangan (4,510), 401 polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
DUN berkenaan mula dipertandingkan pada 2004 dan setakat ini telah melalui lima pilihan raya yang menyaksikan empat daripadanya dimenangi BN.
BN akan diwakili Syed Hussien Syed Abdullah, 40 manakala PN diwakili Mohamad Haizan Jaafar, 61 tahun.
ACP Bahrain turut mengingatkan wakil dan calon yang bertanding supaya mematuhi prosedur permohonan permit untuk mengadakan ceramah dan kempen sepanjang tempoh berkempen yang bermula semalam hingga 27 September nanti.
“Polis menjadi pemudahcara bagi membantu semua pihak yang bertanding namun mereka perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan bagi membolehkan anggota polis bertugas mengawal keamanan dengan teratur,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil calon yang bertanding di Ibu Pejabat Polis Kluang.
Beliau turut mengulangi agar tidak ada pihak yang menyentuh isu sensitif khususnya 3R.
Polis tegasnya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu kerana ia jelas melanggarkan arahan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Piihan Raya (SPR).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.