Oleh: Syafiqah Damanhuri
KLUANG: Barisan Nasional (BN) yakin pengundi Kluang pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Sabtu ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata biarpun berbaki dua hari untuk berkempen, kempen kesedaran turun mengundi dijalankan sejak sebelum hari penamaan calon.
“Untuk itu jentera BN telah menjalankan beberapa usaha terutamanya oleh Menteri Besar Johor bersama dengan parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“Biarpun kita tinggal 2 lagi usaha usaha ini telah dijalankan sejak hari penamaan calon lagi. Kempen kesedaran melalui media sosial telah dilakukan.
“Kita yakin pengundi ini tidak 100% balik tetapi majoriti sebahagian besar daripada mereka mempunyai kesedaran dan tanggungjawab sebagai pengundi dan warga Bangsa Johor kembali pada Sabtu ini bagi menunaikan tanggungjawab,” katanya dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, sini.
Selain itu, beliau turut menafikan dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa calon BN bagi DUN Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah mempunyai kes pergaduhan.
“Mengikut laporan yang saya baca ketika beliau umur 20-an beliau cuba membela seorang buta yang diganggu dan dipukul oleh satu kumpulan. Beliau membela orang buta itu.
“Saya telah semak tidak ada kes polis, tidak ada kes mahkamah dan juga jauh lagi beliau diheret ke mahkamah.
“Pembangkang telah ketandusan isu maka mereka mencari isu peribadi untuk menghilangkan keyakinan pengundi kepada Syed Hussein kerana tidak ada sambutan kepada calon mereka.
“Maka mereka cuba untuk menganggu calon kita,” tegasnya.
Tarikh pengundian bagi PRK DUN Mahkota ditetapkan pada Sabtu ini melibatkan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PN yang mencalonkan Mohamad Haizan Jaafar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.