comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Mahkota: Calon PN tiba di pusat penamaan calon

Oleh: Zahir Senapiah

KLUANG: Calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar tiba di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini jam 8.30 pagi bersama ratusan penyokong.

Mereka sebelum itu berarak dari tempat letak kenderaan Taman Tasik, Jalan Besar di sini sejauh kira-kira satu kilometer bermula jam 8.20 pagi.

Turut mengiringi Mohamad Haizan adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merangkap Pengarah Pilihan Raya BERSATU untuk PRK berkenaan dan Pengerusi PN Johor Datuk Dr Shahrudin Jamal.

Mohamad Haizan, 61, yang merupakan bekas pemain bola sepak Johor dan mesra disapa sebagai ‘Coach Haizan’ adalah anak jati Layang-Layang, Renggam serta memiliki kelulusan Diploma Kecergasan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Coach Haizan yang juga Ahli Jawatankuasa BERSATU Bahagian Kluang pernah mewakili Johor termasuk untuk Piala Presiden Johor, Piala Razak Johor dan Piala Emas Raja Johor.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 September, manakala undi awal pada 24 September.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 5,166 undi pada pertembungan empat penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini