comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Mahkota: Pemilihan Syed Hussein sebagai calon adalah tepat – MB Johor

KLUANG: Pemilihan Syed Hussein Syed Abdullah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, adalah satu pengiktirafan untuk golongan muda di negeri itu.

Ia sekaligus memberi ruang dan peluang kepada golongan muda memainkan peranan dalam menguruskan negeri.

Perkara itu diakui Syed Hussein yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang.

Katanya, selepas dua hari berkempen beliau menerima reaksi yang amat positif di kalangan golongan muda.

Berdasarkan perkembangan itu beliau yakin mampu memenangi kerusi DUN Mahkota pada 28 September ini.

Beliau sebelum itu hadir pada program Sembang Santai Anak Muda Bersama Menteri Besar Johor sempena kempen PRK DUN Mahkota di Bandar Kluang.

Lebih 200 anak muda pelbagai latar belakang dan bangsa menghadiri program yang dikendalikan Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi menyantuni golongan muda.

Justeru beliau menyeru anak muda yang berada di luar Kluang untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 28 September ini.

Dalam pada itu beliau yang juga Pengarah PRK DUN Mahkota berkata, kerajaan negeri sedang merangka dan menyediakan pelbagai agenda untuk masa depan orang muda di Johor termasuk di Kluang.

Antaranya memperbanyakkan peluang kepada golongan muda meningkatkan ekonomi mereka dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan zon kewangan khas.

Justeru pemilihan Syed Hussein adalah keputusan yang tepat.

“Keputusan pucuk pimpinan memilih Syed Hussein adalah tepat kerana kerajaan negeri memberi peluang kepada pemimpin pemimpin muda untuk sama-sama mengembeling tenaga dan idea bagi memenuhi aspirasi anak muda terutama dalam kawasan DUN Mahkota” katanya.

Beliau yang juga pengerusi badan perhubungan UMNO Johor berkata, banyak pembangunan sudah dilakukan kerajaan negeri di daerah Kluang termasuk kemudahan infrastruktur dan kompleks belia selain dalam sektor pendidikan.

Namun usaha itu tidak akan terhenti setakat itu, malah akan diteruskan pada masa akan datang.

Mengikut daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya SPR, 52 peratus daripada 66,318 pengundi terdiri daripada pengundi muda sekaligus menjadi penentu kepada kemenangan calon yang bertanding.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini