comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Mahkota: Pengundi Cina tidak terpengaruh dakwaan surat layang – Zahid 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: “Tidak ada pengaruh dan tidak mempengaruhi pun pengundi Cina di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.”

Demikian penegasan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan penyebaran surat layang menyeru pengundi Cina untuk tidak mengundi parti tersebut pada Sabtu ini.

“Semalam perkara itu dibawa oleh Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) kepada saya sebab semalam satu hari penuh saya berada di DUN Mahkota.

“Didapati ia (surat layang) tidak ada pengaruh dan tidak mempengaruhi pun dalam kalangan pengundi Cina di DUN Mahkota kerana terdapat pengundi berketurunan Cina yang tinggal di luar DUN Mahkota, ada yang tinggal di luar daerah Kluang serta ramai juga yang bekerja di Johor Bahru dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sesi libat urus 66 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta bersama 12 kementerian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET), di sini hari ini.

DAP sebelum ini mendakwa pihak lawan politik cuba menggunakan taktik kotor secara terancang dengan mengedar surat layang menyeru pengundi Cina untuk tidak mengundi BN pada PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi memberitahu, surat layang cetakan komputer dalam bahasa Mandarin diletakkan dalam peti surat di rumah penghuni Cina di Taman Sri Kluang, dan Taman Suria termasuk Taman Lian Seng dan Taman Pelangi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi bukan disebabkan penyebaran surat layang tersebut semata-mata.

Ia mengambil kira pengalaman PRK di DUN Sungai Bakap yang menunjukkan peratusan kecil keluar mengundi.

“Maka di DUN Mahkota kita usahakan bersama dengan semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan ini untuk mengusahakan mereka kembali mengundi 28 September ini,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Daripada 66,318 pengundi DUN Mahkota, 37,413 adalah pengundi Melayu, Cina (22,460), manakala India (5,142) dan Lain-Lain (1,303).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini