comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Mahkota: Persiapan akhir penamaan calon esok berjalan lancar

SPR melakukan persiapan akhir bagi proses penamaan calon PRK DUN Mahkota esok. FOTO: NSTP

KLUANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan persiapan akhir kurang 24 jam sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, yang berlangsung esok.

Tinjauan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini mendapati, pelbagai notis ditampal pada setiap sudut dewan untuk perhatian dan rujukan orang awam, termasuk kepada penyokong parti politik yang dijangka hadir menyatakan sokongan mereka.

Selain itu, turut diadakan sesi simulasi proses penamaan calon, mengambil kira perjalanan proses penamaan calon yang akan berlangsung selama sejam bermula jam 9 pagi, sebelum nama calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid.

Antara yang dilakukan pada simulasi itu ialah menyusun atur kedudukan mereka yang dibenarkan masuk ke dewan seperti bakal calon, pencadang dan pegawai terbabit mengikut prosedur ditetapkan serta proses semakan borang dan dokumen berkaitan bagi tujuan PRK itu.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos lalu.

SPR menetapkan hari pengundian pada 28 September ini, manakala undi awal pada Selasa ini.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 5,166 undi pada pertembungan empat penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini