comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Mahkota: Syed Hussein lebih selesa berkempen dari rumah ke rumah

Oleh: Zahir Senapiah

KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan undangan Negeri Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah lebih selesa menyantuni pengundi di rumah mereka berbanding mengadakan ceramah mega.

Katanya, pendekatan itu bukan saja dapat mendekati lebih 66,318 pengundi, malah dapat mendengar keluhan mereka secara bersemuka dari hati ke hati.

“Pendekatan yang saya guna ini bukan baru, ia telah menjadi amalan sejak saya menyertai UMNO” katanya.

Dalam siri kempen yang masuk hari keempat hari ini, Syed Hussein hadir pada perjumpaan dengan usahawan tempatan di Dewan Muafakat Kampung Tengah.

Beliau kemudian lepak santai minum petang di warung Pak Atan di kampung Melayu.

Pada sebelah malam beliau akan menghadiri program ramah mesra dengan masyarakat India di balai raya kampung Padang Tembak.

Ditanya mengenai perkembangan kempen sejak empat hari lalu Syed Hussein berkata, beliau telah bertemu ramai pengundi.

“Kalau nak diukur dari segi jumlah kita tak dapatlah angka secara penuh. Tetapi saya selesa jumpa daripada kelompok ke kelompok, daripada golongan pasar malam hingga orang awam, daripada satu kumpulan ke satu kumpulan mengikut kesesuaian dan saya akan kekalkan cara berkempen pintu ke pintu kerana kita rasakan sentuhan ni lebih berkesan dan sesuai dengan budaya masyarakat Kluang berbanding ceramah mega,” katanya.

Syed Hussein menambah, satu kaedah lagi yang digunakan adalah menyantuni pengundi termasuk yang berada diluar melalui media sosial.

“Medium media sosial memberi ruang kepadanya untuk mendekati pengundi termasuk yang tinggal di luar kawasan dan mereka terbuka mengutarakan pendapat atau permasalahan yang dihadapi” jalsanya.

PRK DUN Mahkota pada 28 September ini akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN yang diwakili Syed Hussein dan PN diwakili Mohamad Haizan jaafar atau lebih dikenal sebagai “Coach Haizan”.

DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, tentera dan pasangan (4,510), 401 polis serta 10 orang pengundi luar negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini