GUA MUSANG: Warga emas Orang Asli, Gadong Kelisar yang sudah mengundi sejak zaman pemerintahan Tun Abdul Razak, tetap bersemangat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Dewan Undangn Negeri (DUN) Nenggiri hari ini.
Seawal jam 8 pagi sejurus pusat pengundian dibuka, Gadong, 84, sudah mula mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Meranto, di sini, hari ini.
Walaupun terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan, katanya, beliau tetap bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya pun sudah lupa kali berapa mengundi. Seingat saya, sejak zaman pemerintahan Tun Abdul Razak saya sudah mengundi dan menjadi pengundi Orang Asli Kampung Kuala Lah.
“Setiap kali ada pengundian sama ada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilahan Raya Negeri (PRN) dan PRK ini saya pasti akan datang untuk mengundi.
“Apa yang saya harapkan dengan undi ini, ada wakil rakyat yang boleh membela nasib kami masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Lah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengundian SK Meranto.
Gadong yang menjadi Orang Asli terawal mengundi di Pusat Pengundian SK Meranto dihantar oleh anak, Kamal Gadong, 49.
Menurut Kamal, bagi membolehkan bapanya keluar untuk mengundi, dia sanggup pulang dari Kuala Krai semalam.
Katanya, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ada menyediakan pengangkutan untuk membawa pengundi Orang Asli Kampung Kuala Lah ke Pusat Pengundian di SK Meranto namun dia bersama adiknya lebih selesa membawa sendiri ayah mereka untuk mengundi.
“Saya baru sampai di Kampung Kuala Lah semalam, hari ini selepas selesai membawa ayah mengundi akan terus pulang ke Kuala Krai.
“Kami adik beradik sepakat membawa sendiri ayah ke pusat pengundian kerana keadaan dia yang sudah uzur,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.