comscore
Tumpuan :
Politik

PRK KKB: 97 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab – SPR

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh meninjau proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu hari ini. FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Seramai 769 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB), hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata angka itu membabitkan 97 peratus daripada keseluruhan 863 pengundi awal yang berdaftar.

Beliau berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Penerangan, pengamal media dan semua pihak atas kerjasama kepada SPR.

“Peratus keluar mengundi bagi hari mengundi awal adalah sebanyak 97 peratus.”

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Proses pengundian awal itu hanya membabitkan dua pusat mengundi masing-masing di Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri, Kem Erskine di sini, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Keseluruhan pengundi awal bagi PRK DUN KKB itu membabitkan 625 anggota polis, 238 tentera dan pasangan berdaftar dengan SPR.

PRK DUN KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao; Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional); Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Kee Hiong menang dengan majoriti 4,119 undi.

Tarikh pengundian utama dijadualkan pada Sabtu ini, 11 Mei.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini