comscore
Tumpuan :
Politik

PRK KKB: Calon PH nafi dakwaan kempen diboikot pemimpin PKR

Calon PH, Pang Sock Tao meninjau proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, semalam. FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menafikan dakwaan kempen beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diboikot pemimpin tertinggi PKR.

Ketika ditemui media pagi tadi, beliau menjelaskan terdapat beberapa pemimpin daripada parti komponen PH itu berada di lapangan bagi membantu kempen pihaknya.

“Ini satu dakwaan yang tidak benar. Menteri Besar (Selangor), Datuk Seri Amirudin Shari telah turun untuk membantu kempen selama tiga hingga empat kali.

“Semalam juga, saya menyertai satu forum yang dianjurkan oleh PKR, di mana (Naib Presiden PKR), Nurul Izzah (Anwar) turut hadir ke cawangan wanita. (Sayap pergerakan) wanita (PKR) turut hadir dan juga ada ahli.

“Ramai ahli politik PKR turun bantu. Jadi hakikatnya, itu (pemimpin PKR tidak turun berkempen) adalah dakwaan tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada laporan sebuah portal semalam, mengenai jentera PKR didakwa tidak membantu kempen PH di Kuala Kubu Bharu kerana tiada peruntukan disalurkan PKR Selangor, akibat rasa tidak paus hati dalam soal pemilihan calon.

Memetik laporan sama, turut tersebar adalah surat aduan tanpa nama diutuskan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan menyebut semua enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) dikendalikan PKR berdepan masalah dana, menyukarkan jentera untuk bergerak di setiap kawasan.

Berbaki dua hari sebelum hari pengundian Sabtu ini, Sock Tao mengakui cabaran paling besar buat PH ialah memastikan ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Oleh itu, beliau mengambil pendekatan dengan menghasilkan video dalam beberapa bahasa untuk ‘memujuk’ pengundi, khususnya yang berada di luar Kuala Kubu Bharu balik mengundi.

“Saya ingin menggesa semua pengundi turun mengundi, sokong PH. Undi anda akan menentukan arah pembangunan Kuala Kubu Bharu pada masa akan datang.

“Strategi di pihak kami, kami akan merakam video dan memuat naik di media sosial dalam pelbagai bahasa untuk menggesa rakan-rakan, khususnya golongan muda turun mengundi.

“Saya sudah merakam video bahasa Mandarin, Cina, Hakka dan Hokkien. Banyak pemimpin PH turut berucap dalam pelbagai bahasa untuk menunjukkan betapa pentingnya PRK ini buat Kerajaan Perpaduan dan kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini