comscore
Tumpuan :
Politik

PRK KKB: Calon PH, PN bertembung di pasar pagi, bergambar bersama

Calon PH, Pang Sock Tao (dua dari kiri) dan calon PN, Khairul Azhari Saut (dua dari kanan) bertegur sapa ketika kempen di pasar pagi Batang Kali, hari ini. FOTO: NSTP

BATANG KALI: Hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu bermula dengan calon mewakili gabungan dua parti berseteru bertumpu di pasar pagi Batang Kali, pagi ini.

Calon Perikatan Nasional ( PN) daripada BERSATU, Khairul Azhari Saut dan calon Pakatan Harapan (PH) mewakili DAP, Pang Sock Tao sempat bergambar bersama sebelum masing-masing meneruskan aktiviti bertemu pengundi di pasar berkenaan.

Kehadiran mereka pada jam 8.30 pagi secara serentak adalah untuk program ramah mesra dengan pengundi terdiri kalangan peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.

Mengiringi Khairul Azhari ialah Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun, manakala Sock Tao dibantu Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

PRK Kuala Kubu Baharu akan berlangsung pada 11 Mei depan, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Sock Tao, Khairul Azhari, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Ini PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan meraih majoriti 4,119 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini