comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: Manifesto calon PN kemuka 5 tawaran

Calon PN, Khairul Azhari Saut menunjukkan manifesto untuk pengundi PRK DUN Kuala Kubu Bharu yang dilancarkan hari ini. – FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) mengemukakan lima tawaran atau teras dalam manifestonya kepada pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang dilancarkan di sini, hari ini.

Calon PN, Khairul Azhari Saut berkata manifesto bertemakan ‘Demi Rakyat Kuala Kubu Bharu’ itu bertujuan membolehkan pihaknya menyuarakan denyut nadi rakyat atau pengundi Kuala Kubu Bharu di peringkat pentadbiran negeri.

“Teras yang pertama adalah untuk menuntut pembangunan berkualiti dan mapan dengan mendesak pembangunan infrastruktur serta prasarana asas masyarakat yang berkualiti dan sempurna.

“Teras berkenaan adalah untuk menjadi suara warga Kuala Kubu Bharu dan berperanan sebagai perantara rakyat dan agensi kerajaan,” katanya pada pelancaran manifesto PN `Demi Rakyat KKB’.

Yang turut hadir Pengerusi PN Selangor Datuk Seri Azmin Ali; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan.

Khairul Azhari yang juga anak jati Hulu Selangor itu juga mahu memberi jaminan terhadap kelestarian alam dan persekitaran hijau di Kuala Kubu Bharu sebagai teras yang kedua dalam manifesto berkenaan

Selan itu, menyediakan ‘blueprint’ untuk pembangunan Kuala Kubu Bharu yang lestari bagi mengekalkan kehijauan alam semula jadi dan persekitaran yang bersih.

Keempat, mempromosikan keindahan alam sekitar dan kawasan Kuala Kubu Bharu sebagai kawasan eko pelancongan yang dapat memangkin kegiatan ekonomi untuk masyarakat setempat.

Dan teras terakhir, memperkasa ekonomi rakyat dengan membangunkan sebuah pusat khidmat yang turut berfungsi sebagai pemudahcara dan penyuai temu buat sumber daya manusia tempatan dengan pemain industri tempatan.

Khairul Azhari berkata beliau juga akan menyediakan sebuah platform atas talian untuk mempromosi dan menjadi ejen pemasaran produk-produk tempatan.

“Selain itu, mengembleng potensi generasi muda dan wanita progresif turut ditawarkan dalam manifesto di KKB dengan menaiktaraf kemudahan sukan dan rekreasi serta fasiliti awam.

“Melipat gandakan program-program pemerkasaan anak muda dan wanita khususnya dalam bidang sukan dan sosioekonomi,” katanya.

Khairul Azhari berkata manifesto berkenaan turut merangkumi pembelaan terhadap masyarakat minoriti dengan mendesak perkampungan Orang Asli diiktiraf dan dimartabatkan dengan kemudahan asas yang berkualiti dan selamat.

Selain itu, katanya, menuntut pembangunan yang mesra orang kurang upaya (OKU) khususnya di setiap prasarana awam seluruh Kuala Kubu Bharu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini