comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Pulai: Suhaizan, isteri mengundi di SK Seri Melati

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melati di Kempas di sini pada jam 8.53 pagi tadi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Suhaizan yang juga Ketua AMANAH Bahagian Pulai hadir bersama isterinya, Dr Norsham Idris yang turut mengundi di SK Seri Melati.

“Saya dan isteri mengundi di sini (SK Seri Melati) dan kedua-dua kami di saluran tiga kerana kami sebaya,” katanya berseloroh.

Kerusi Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Suhaizan dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pulai dan Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi selaku calon Bebas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi.

Allahyarham menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 31,726 undi, manakala calon PN, Loh Kah Yong, mendapat 20,677 undi.

Loading...
Terkini