comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Sungai Bakap: Dr Joohari taruhan Kerajaan Perpaduan

Oleh: Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Dr Joohari Ariffin, dari PKR-Pakatan Harapan diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya Kerajaan Perpaduan, Rafizi Ramli malam ini.

“Saya ingin tegaskan pemilihan Dr Joohari (dari PKR) sebagai calon Dun Sungai Bakap telah dipersetujui oleh semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sebelum itu, nama beliau diangkat dari senarai pendek kepada Majlis Pimpinan Pusat PKR untuk penelitian.

“Selepas diluluskan oleh MPP, pilihan itu dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR yang mempersetujui pencalonan Dr Joohari,” katanya pada Malam Pengumuman Calon Perpaduan Sungai Bakap di Simpang Ampat, di sini.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Pengerusi PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional peringkat negeri.

Tambah Rafizi, Dr Joohari memenuhi kriteria yang diputuskan iaitu anak tempatan, memiliki kelayakan akademik serta pengalaman khidmat masyarakat dan sedia berkhidmat untuk semua lapisan rakyat.

Dr Joohari yang merupakan anak kelahiran Sungai Bakap mengisi jawatan Pengarah IAB Cawangan Utara di Jitra, Kedah dari April 2018 sehingga 1 September 2023 selepas mula bertugas di institusi itu sebagai pensyarah pada tahun 2006.

Beliau dianugerahkan Ijazah Kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia dengan pengkhususan dalam bidang Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan pada tahun 2014.

Terdahulu, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya pada tahun 1987 dan memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekokah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang, Kedah, seterusnya di SMKA Nibong Tebal, SMK Saujana Indah di Nibong Tebal.

Beliau pernah diberikan anugerah Guru Inovatif Daerah Seberang Perai Selatan pada tahun 2000, Tokoh Belia Daerah SPS pada tahun 2005.

Selain itu, beliau mendapat pengiktirafan sebagai ‘Certified Trainer’ dan ‘Certified Coach’ daripada IAB sejak tahun 2006 dan Pakat Negara dalam Pengajaran (PAJAR) daripada Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2016.

Dr Joohari juga dianugerahkan Pemimpin Berinspirasi daripada Jemaah Nazir Negeri Kedah pada tahun 2023.

Beliau menamatkan perkhidmatannya sebagai penjawat awam pada 1 September 2023.

Sebelum ini, Perpaduan Pulau Pinang memutuskan calon dari PKR akan bertanding mewakili gabungan itu dalam PRK kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 6 Julai sebagai hari pengundian PRK, manakala 22 Jun sebagai hari penamaan calon.

Kerusi Sungai Bakap diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56 tahun, meninggal dunia 24 Mei lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya kerana mengalami keradangan perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Allahyarham Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini