comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Sungai Bakap: Tiada halangan pesakit keluar mengundi, jika dibenarkan doktor

Oleh: Kumaran Rajamoney

NIBONG TEBAL: Pesakit yang sedang mendapatkan rawatan kesihatan di hospital boleh keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sekiranya diberikan kebenaran oleh pegawai perubatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan keadaan kesihatan pesakit akan dinilai oleh petugas kesihatan sebelum keputusan dibuat.

“Kalau petugas kesihatan ataupun kakitangan hospital seluruhnya, mereka boleh mengundi. Bagi pesakit, penilaian akan dibuat oleh doktor dari sudut risiko.”

“Saya yakin, mereka boleh dengar pandangan doktor, dan diuruskan bagi melunaskan hak untuk mengundi. Maksudnya tiada halanganlah,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemudahan kepada pesakit di wad untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Terdahulu beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Hospital Sungai Bakap, di sini.

Sesi lawatan itu katanya adalah bagi meneliti perkembangan cadangan bangunan hospital yang baharu, seperti yang telah dibincangkan pada Ogos 2023.

“Perkara ini sudah dirancang tahun lepas. Saya dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang telah mengenal pasti tapak yang sesuai bersebelahan hospital sedia ada untuk tujuan ini, dan KKM sedang meneruskan proses berikutnya iaitu permohonan pemberimilikan lot tanah tersebut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini