Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
GEORGETOWN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selesai melaksanakan tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) Hu Yew Seah pagi tadi.
Beliau tiba di pusat mengundi seawal pukul 7.57 pagi sebelum menjalankan tanggungjawab dan keluar dari pusat pengundian pada jam 8.10 minit pagi.
Chow ketika ditemui berkata, dia berharap orang ramai akan turun menjalankan tanggungjawab mereka, selain mengharapkan proses pengundian hari ini berjalan lancar.
“Saya harap hari ini dapat disempurnakan dengan jayanya.”
“Harap semua proses pengundian di pusat-pusat mengundi akan berjalan lancar.”
Malah, dia lega kerana tidak ada sebarang isu atau insiden yang berlaku ketika hari terakhir kempen pilihan raya yang berakhir semalam.
“Saya bersyukur kerana tiada ada sebarang insiden yang dilaporkan berlaku pada kempen pilihan raya negeri yang telah disempurnakan pada malam semalam.”
“Maksudnya, semua calon-calon dan parti-parti yang bertanding termasuk jentera dan orang awam telah mengamalkan semangat yang baik dalam memastikan kempen berlangsung dengan aman, harmoni.”
Tambahnya, dia berharap pengundi hari ini dapat mengundi dengan binak dalam memilih tampuk pimpinan negeri.
“Jadi hari ini, kita serahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan”.
“Kita tunggu keputusan yang dibuat rakyat untuk menentukan masa hadapan kita (PH).” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Turut mengundi di situ, Calon PH DUN Komtar, Teh Hai Leng yang tiba pada jam 7.54 minit pagi.
Malah, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang turut menjalankan tanggungjawabnya di sekolah sama.
Beliau hadir kira-kira jam 7.59 pagi ditemani anaknya Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong.
Untuk rekod seramai 15,165 orang pengundi berdaftar akan keluar menjalankan tanggungjawab mereka di 13 pusat pengundian di DUN Padang Kota.