comscore
Tumpuan :
Politik

PRN 2023 : PM iringi 3 calon DUN di Parlimen Gombak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan lawatan ke proses penamaan calon N.16 Sungai Tua bagi Parlimen Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu Gombak, Selangor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN). – Foto : NSTP

GOMBAK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberikan sokongan kepada tiga calon blok kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) pada Himpunan Perpaduan Gombak bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Hulu Kelang dan Gombak Setia.

Kerusi Sungai Tua ditandingi Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor, sementara Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli bersaing merebut kerusi Hulu Kelang dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Gombak Setia.

Turut mengiringi Anwar selaku Pengerusi P ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta kepemimpinan tinggi parti PKR dan UMNO yang berarak bersama calon dan penyokong ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak hari ini.

Amirudin bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua selama tiga penggal dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, beliau memperoleh majoriti 11,374 undi.

Calon PH itu menang dengan 17,446 undian ketika menentang Datuk N Rawisandran daripada BN yang mendapat 6,072 undi serta dua lagi calon Ustaz Mad China (PAS) dan Badrul Acong (BEBAS), masing-masing memperoleh 4,530 dan 268 undi.

Parlimen Gombak antara paling mendapat perhatian dalam PRN Selangor berikutan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara nama besar mengesahkan bertanding kerusi Hulu Kelang.

Ini kerana Mohamed Azmin memutuskan tidak mempertahankan kerusi Bukit Antarabangsa untuk beralih ke Hulu Kelang dengan beliau bakal berdepan Juwairiya.

Bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR, Muhammad Hilman Idham yang bertanding kerusi Gombak Setia turut menjadi tumpuan kerana PRU14 beliau menang atas tiket PH, tetapi meninggalkan PKR menerusi Langkah Sheraton dan kemudian menyertai BERSATU.

Muhammad Hilman yang menang majoriti 12,399 undi menewaskan Megat Zulkarnain yang kini saingannya pada PRN ini.

Loading...
Terkini