KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan nama ahli yang bakal dipecat atau digugurkan dalam tempoh dua hari lagi, kerana menjadi calon Bebas atau menyokong calon lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berapa jumlah ahli yang bakal dikenakan tindakan itu.
Hamzah berkata demikian pada sidang media di Program Ceramah Perdana Isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, di sini malam tadi.
Beliau ditanya media sama ada lapan ahli yang bakal dipecat atau digugurkan selepas disyaki menjadi calon atau menyokong calon parti lain termasuk kes di Langkawi, Kedah.
“Saya akan mengumumkan tidak lama lagi, mungkin dalam sehari atau dua hari ini. Namun sebelum itu, kita akan membuat pemeriksaan di seluruh negara untuk mendapatkan kepastian. Kalau tidak, nanti orang kata kita pilih kasih.
“Kita nak kepastian dan apabila sudah pasti ada ahli melanggar undang-undang Fasal 10.2.2 Perlembagaan Bersatu, mereka ini boleh dipecat atau digugurkan.
“Ramai (ahli) yang terbabit kerana mereka bukan saja menjadi calon tetapi ada yang menyokong calon-calon (lain) pada PRN,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dan calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Sebelum ini, PAS bertindak menggugurkan keahlian Timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Langkawi, Safwan Hanif Shafie setelah masing-masing bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan DUN Ayer Hangat.