
KEPALA BATAS: Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang mengetengahkan lapan teras membabitkan 33 tawaran dalam manifesto gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Timbalan Presiden PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata gabungan itu bertekad mengetengahkan tawaran yang akan memberi manfaat kepada lebih 1.7 juta rakyat Pulau Pinang.
Katanya, PN Pulau Pinang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi lepasan sekolah, graduan dan penganggur, bertujuan menjayakan pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Selain itu, memperuntukkan subsidi RM1.5 juta kepada syarikat kerajaan negeri dan swasta yang terbabit dengan program latihan industri, bertujuan menggalakkan pembabitan golongan muda di sektor industri.
“Bagi merangsang lagi pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan rakyat, kita akan menyediakan Geran Modal Mikro bernilai hingga RM10 juta, yang menyasarkan pihak terbabit dengan aktiviti keusahawanan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk usahawan digital.
“Sebanyak RM5 juta pula akan disediakan sebagai insentif bantuan pukat, bot gentian dan juga enjin bot kepada golongan nelayan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto PN di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dan Pengerusi BERSATU negeri, Zulkifli Bakar.
Dominic yang juga Presiden GERAKAN berkata, gabungan itu juga akan mewujud dan melaksanakan dasar mesra sektor penjajaan makanan selepas mengambil kira Pulau Pinang dikenali sebagai antara destinasi utama ‘food hunting’ di negara ini.
Sehubungan itu, katanya, fi lesen penjaja kecil yang terbabit juga akan dikecualikan bagi memastikan usaha Pulau Pinang sebagai peneraju hab pelancongan makanan bertaraf antarabangsa dapat dijayakan.
“Bagi menggalakkan lagi peningkatan taraf pendidikan golongan muda, peruntukan RM1,200 akan diberi kepada semua anak Pulau Pinang yang akan mendaftar di institut pengajian tinggi (IPT), termasuk di Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Selain itu, semua pelajar baharu di matrikulasi dan Tingkatan Enam pula akan diberi bantuan RM500 setiap orang,” katanya yang juga calon PN di DUN Bayan Lepas.
Bercakap pada sidang media, Dominic yang juga Pengerusi PN negeri berkata, PN Pulau Pinang yakin dapat menunaikan segala manifesto diketengahkan gabungan itu selepas mengambil kira kedudukan kewangan negeri.
“Setiap janji (manifesto) diberikan PN memang akan dilaksanakan kerana kita sudah meneliti rizab kewangan negeri dan kaedah pelaksanaan akan dibincangkan, jika mandat diberikan kepada PN untuk menerajui Pulau Pinang,” katanya.