Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan negeri setelah memperolehi majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, di sini.
“Bagi keseluruhan pengundian sehingga jam 11.31 malam, 12 Ogos 2023, PH telah memenangi sejumlah 29 kerusi daripada 56 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini berjaya memperolehi suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan,” katanya.
Setakat jam 4 petang tadi, SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi di negeri berkenaan adalah sebanyak 65 peratus.
Seramai 3,747,057 pemilih berdaftar di negeri tersebut membabitkan 3,719,495 pengundi biasa; 18,557 polis dan pasangan; 8,000 tentera serta pasangan; dan 1,005 pengundi tidak hadir luar negara.
Datuk Seri Amirudin Shari dicalonkan kekal sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu.
Perkara berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan keputusan itu bagi memastikan Amirudin dapat meneruskan kecemerlangan dalam mentadbir kerajaan Selangor.
Semalam, Amirudin mengumumkan Isnin ini sebagai cuti peristiwa sekiranya gabungan PH-BN menang.