comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN: Azmin mahu berehat selepas 7 penggal

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membayangkan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurutnya, beliau secara peribadi mahu memberi laluan kepada calon muda yang berpotensi dalam PN untuk bertanding.

“Setelah berkhidmat tujuh penggal iaitu tiga penggal di Parlimen Gombak, tiga penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan satu penggal di DUN Hulu Kelang.

“Maka saya rasa sudah sampai masanya untuk saya memberi laluan kepada tokoh muda yang ramai berpotensi, saya akan terus memberikan khidmat dan sumbangan kepada Perikatan Nasional.

“Dan inilah yang sedang saya lakukan, saya lihat sambutan kepada PN semakin mantap dan kukuh,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengulas mengenai dakwaan akan bertanding di DUN Morib sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita.

“Saya terima banyak permintaan bukan sahaja DUN Morib tetapi beberapa DUN di Selangor. (Sekiranya dicalonkan) saya serah kepada kepimpinan parti,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, serta pimpinan PN.

Loading...
Terkini