comscore
Tumpuan :
Politik

PRN: Calon BN DUN Alur Limbat mahu buka pusat tuisyen percuma

Calon BN DUN Alur Limbat, Yuseri Isa (dua kanan) beramah mesra bersama penduduk sebelum bermula perlawanan bola sepak persahabatan semasa berkempen sempena Piliharanraya Negeri (PRN) di Kampung Gelugor -FOTO NSTP

MARANG: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN), Alur Limbat, Mohd Yuseri Isa berhasrat untuk membuka pusat tuisyen secara percuma dan meminta sebuah sekolah rendah baharu dibina jika menang di DUN berkenaan.

Bekas guru dan pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) itu berkata, sekolah yang baharu itu bagi menampung keperluan murid yang semakin bertambah berikutan kepadatan penduduk.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) yang pernah menjawat jawatan Pengarah Biro Tatanegara Terengganu itu juga mahu buka pusat tuisyen secara percuma dalam misi meningkatkan lagi tahap pendidikan selain mengurangkan beban yang ditanggung keluarga.

Katanya, membangunkan ekonomi penduduk setempat juga menjadi misi utamanya kerana sebahagian besar dalam kalangan mereka adalah petani dan kerja kampung.

“Penduduk di DUN ini sebahagian besarnya adalah petani dan penoreh getah, jadi sudah tentu mereka memerlukan banyak bantuan dan sokongan daripada kerajaan untuk membangunkan hasil pertanian bagi menjana ekonomi mereka,” kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Marang itu yang mengharapkan pengundi memilih BN bagi mentadbir negeri ini.

Ketika ditanya mengenai peluangnya untuk merampas DUN berkenaan daripada tangan PAS, Mohd Yuseri yang baharu pertama kali bertanding menjelaskan kekuatan utama adalah beliau anak kelahiran Padang Sepulau, Kampung Tasek yang terletak dalam DUN berkenaan.

Selain itu katanya, beliau juga mempunyai ramai rakan dalam kalangan guru sekali gus bakal memberikan kelebihan kepadanya untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu ke-15 pada 12 Ogos ini.

“Berdasarkan sokongan dan perjumpaan, saya ada ramai kenalan dalam kalangan guru, saya begitu rapat dengan mereka, tambah meyakinkan saya adalah anak jati di DUN berkenaan,” kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Marang itu ketika ditemui di Kampung Tasek, semalam.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, penyandang kerusi itu, Ariffin Deraman daripada PAS menang dengan majoriti 4,194 menewaskan calon BN, Datuk Saiful Bahri Datuk Baharuddin dan Ahmad Sabri Ali calon PKR.

Loading...
Terkini