comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN: Kerajaan perpaduan yakin dapat sokongan di Negeri Sembilan

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

TAMPIN: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yakin akan terus mendapat sokongan di Negeri Sembilan disebalik propaganda tsunami politik yang cuba dimainkan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kebebasan bersuara sememangnya diizinkan dalam sistem berdemokrasi, namun Pilihan Raya Umum (PRU) lalu memperlihatkan keputusan sebaliknya di negeri ini.

“Kita tak perlu layani propaganda yang begitu, kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan manakah pilihan terbaik.

“Saya mengharapkan agar keserasian antara jentera BN dan PH dapat dipertingkatkan sekarang ini bagi kita menghadapi cerita-cerita dan juga propaganda seperti itu.

“Insya-Allah kita akan dapat dokongan daripada rakyat Negeri Sembilan semula keseluruhannya,” katanya.

Mengulas mengenai gerakan untuk menumbangkan kerajaan, beliau berkata sokongan 148 Ahli Parlimen terhadap Kerajaan Perpaduan menunjukkan 2/3 majoriti.

Katanya lagi, setakat ini tidak ada sebarang usul dari pembangkang untuk melakukan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Setakat ini, dengan keberadaan kita, seramai 148 Ahli Parlimen, ianya memperlihatkan 2/3 majoriti.

“Tentunya apa yang disebutkan oleh mereka bahawa ada satu gerakan untuk menumbangkan kerajaan yang ada, cabaran daripada Perdana Menteri memperlihatkan jika mereka ada undi tidak percaya, lakukan di Dewan Rakyat.

“Tapi tidak ada setakat ini sebarang usul untuk kearah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Tambahnya, rakyat di negeri ini memerlukan pentadbiran dan politik yang stabil.

“Dengan adanya penyatuan antara BN dan PH, kita amat yakin bahawa rakyat perlukan kestabilan.

“Negeri Sembilan ini keutamaannya adalah dari segi pembangunan ekonomi dan rakyat juga perlukan pekerjaan.

“Rakyat Negeri Sembilan akan lebih bijaksana untuk memilih kerajaan yang dapat membantu mereka,” katanya.

Loading...
Terkini