comscore
Tumpuan :
Politik

PRN: ‘Mereka ini orang hebat, mampu beri impak positif’ – Sanusi

PENDANG: “Yang dibuang UMNO adalah orang baik-baik, mereka ada potensi hebat,” itu reaksi Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Khairy semalam, bahawa beliau menerima tawaran bertanding pada PRN Selangor ini tanpa menyebut nama parti terbabit.

Jelas Sanusi, bekas pemimpin dan ahli UMNO yang dipecat dipelawa menyertai mana-mana parti komponen Perikatan Nasional (PN) berikutan mereka dilihat mampu memberi impak positif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Tambahnya, pemimpin terbabit adalah individu yang mempunyai pengalaman dan pengaruh dalam politik negara ini.

“Siapa kata Khairy Jamaluddin, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak hebat?

“Semua mereka ini orang hebat, terkenal di seluruh Malaysia. Khairy berapa lama beliau jadi menteri, orang yang hebat. Saya harap ia menjadi kenyataan, orang baik datang, orang tidak bagus pergi berhimpun sebelah sana (Pakatan Harapan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik, Lesen Menduduki Sementara, Hak Milik Sambungan dan Cukai Tanah yang melibatkan lebih 500 individu di Pendang, hari ini.

Sementara itu, mengulas tentang kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sokongan pengundi Melayu kepada PH bertambah kepada 31 peratus, Menteri Besar Kedah itu berkata ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana UMNO kini bekerjasama bersama PH.

“Dia (Anwar) ambil (sekali) yang (pengundi) UMNO masuk sekali (dalam peratusan yang dinyatakan), sokongan orang Melayu kepada UMNO memang ada, UMNO menang 26 kerusi (Parlimen) campur (parti komponen) BN, empat kerusi, (keseluruhan semua) jadi 30 (kerusi Parlimen).

“Dia ambil yang itu, bubuh semua di situ, jadi banyak lah (sehingga dapat 31 peratus), (dia buat) macam orang tidak tahu. Tidak perlu cakap (semua itu), kami (PN) pun dapat sokongan orang Melayu, (boleh) tengok sendiri, (semua) orang tahu,” katanya.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata andaian kononnya PH tidak mendapat sokongan pengundi Melayu selepas hanya menerima 19 peratus undian kaum itu pada Pilihan Raya Umum ke-15(PRU-15) pada November lalu, adalah tidak benar.

Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, berdasarkan data analisis awal kajian yang dilakukan pihaknya mendapati secara keseluruhan gabungan itu menerima 31 peratus undian pengundi Melayu dengan data itu akan dikemas kini dalam tempoh terdekat.

Katanya, jika PH hanya menerima 19 peratus sokongan pengundi Melayu, gabungan itu tidak mungkin mencatat jumlah kemenangan kerusi Parlimen yang banyak pada PRU-15.

Loading...
Terkini