Tumpuan :
Politik

‘PRN Sabah boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang’ – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. -Foto fail NSTP

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang hingga Oktober tahun depan.

“Kita ada tempoh sehingga Oktober 2025 untuk bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan PRN17. Maknanya, kita boleh adakan pilihan raya bila-bila masa, sebelum atau sehingga tempoh kita tamat.

“Apa yang pasti, kita akan berdepan pilihan raya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk ‘Memperkasa Parti, Memakmurkan Negeri’ pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2024, di sini hari ini.

Selain pemimpin Gagasan Rakyat, perhimpunan turut dihadiri pemimpin parti sekutu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) negeri.

Antara yang hadir, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee.

PH Sabah pula diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Christina Liew; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dan Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu.

 

Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2024 berlangsung di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto FB HAJIJI HAJI NOOR

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi GRS berkata, kerajaan GRS-PH-Plus pimpinannya memerlukan mandat baharu rakyat dan sokongan signifikan bagi menerajui kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun lagi.

“Tempoh itu amat penting kepada rakyat dan negeri ini bagi memastikan segala agenda dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kita gagaskan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“PRN17 adalah peluang terbaik untuk kita memperkukuhkan kedudukan dan kekuatan Gagasan Rakyat, selain menjadi medan untuk kita pasakkan asas parti serta memperkasa sokongan rakyat terhadap parti.

“Momentum ini akan menjadikan Gagasan Rakyat dan GRS kukuh dalam politik arus perdana, sekali gus mencipta blok politik yang kuat lagi disegani,” katanya.

Sejajar dengan itu, katanya Gagasan Rakyat dan GRS mula memperkemaskan strategi, menyusun pentadbiran dan pengurusan parti bagi menghadapi PRN17.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini