comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRN17 Sabah dijangka selepas tamat tempoh DUN sekarang

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) melayan tetamu yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Sri Sulaman, Tuaran. Foto NSTP/Izwan Abdullah.

TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan kemungkinan pilihan raya negeri ke-17 (PRN-17) diadakan selepas tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sekarang.

Ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu berkata tempoh DUN sekarang masih panjang iaitu sehingga akhir September tahun depan.

Katanya, beliau sendiri selaku ketua kerajaan negeri tidak mengetahui bila PRN-17 diadakan memandangkan masih banyak masa untuk melaksanakan tugasan, khususnya bagi menyelesaikan beberapa isu pembangunan yang dihadapi rakyat negeri Sabah.

“(Bila pilihan raya?) Saya tidak tahu. Walaupun saya sebagai ketua sebuah kerajaan yang akan membuat keputusan bila kita mengadakan pilihan raya, tapi tempoh (DUN) kita sekarang sehingga hujung September tahun depan,” katanya.

Beliau ditanya sama ada sudah memikirkan bila tarikh PRN17 diadakan memandangkan ramai menjangkakan pilihan raya akan diawalkan sejajar peningkatan ‘suhu’ politik di Sabah sejak kebelakangan ini.

Hajiji berkata berikutan tempoh DUN sekarang yang masih panjang, tumpuan kerajaan negeri pimpinannya lebih kepada menyelesaikan isu yang didepani rakyat Sabah ketika ini.

Pada masa sama beliau juga yakin masalah air di Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya akan selesai pada tahun ini.

Tahun lalu, Hajiji pernah menyuarakan jangkaan PRN-17 diadakan lebih awal, termasuk kemungkinan pada tahun ini, namun ia turut tertakluk kepada situasi politik semasa di negeri ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini