
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ‘buka mulut’ bahawa Datuk Ahmad Yakob tidak mahu mengekalkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.
Beliau berkata, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi, Menteri Besar tidak mahu bertanding, namun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merasakan beliau perlu ada untuk memimpin parti.
“Tiada isu digugurkan kerana Ahmad Yakob memang sejak PRU-14 lagi meminta untuk tidak bertanding, namun Presiden parti mahu beliau terus memimpin.
“Bagaimanapun, kali ini beliau minta secara bersungguh-sungguh dan presiden parti ambil maklum dengan mengambil kira faktor kesihatan dan usia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Panji, di sini, hari ini.