comscore
Tumpuan :
Politik

Program Mas Ermieyati batal, tak dapat sambutan

FOTO : Mas Ermieyati / Facebook

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Program gotong-royong anjuran calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di sebuah surau di Alor Gajah terpaksa dibatalkan saat akhir hari ini selepas tidak mendapat sambutan penduduk setempat.

Datuk Mas Ermieyati dalam satu hantaran dimuat naik di Facebook miliknya berkata, Ahli Jawatankuasa (AJK) surau berkenaan memaklumkan kehadirannya tidak dapat diterima atas sebab yang tidak dapat didedahkan.

“Saya dah sampai dah di Surau Al Iman, Taman Indah. Jadual sepatutnya saya bergotong royong dengan jemaah di sini pagi ni.

“Tapi saya telah dimaklumkan oleh AJK surau yang mereka tak dapat terima kehadiran saya atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Beliau reda dengan layanan yang diberikan penduduk setempat meskipun telah mencurah bakti termasuklah meluluskan pembinaan jalan tar ke surau berkenaan.

“Tak apalah, saya faham. Saya hanya pandang dari jauh. Teringat dulu masa awal surau ni dibuat.

“Saya dengan kawan-kawan Gerakan Belia 4B Kawasan Masjid Tanah buat program di sini dan ada permintaan dari jemaah untuk saya buatkan jalan tar untuk ke surau sana bagi kemudahan jemaah. Telahpun saya luluskan waktu tu.

“Apapun saya doakan semoga urusan mereka semua dipermudahkan,” ujarnya.

Mas Ermieyati berdepan saingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid; calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Loading...
Terkini