comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Proses Pengundian Di DUN Tioman Bermula

Oleh: Fazli Ahmad

ROMPIN: Tepat jam lapan pagi, semua 17 pusat mengundi di seluruh DUN Tioman dibuka bagi membolehkan 28,200 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Tinjauan Buletin TV3 mendapati, orang ramai mula berkumpul di perkarangan pusat mengundi seawal jam 7 pagi tadi yang kebanyakannya membabitkan pengundi saluran 1 dan 2.

Calon Barisan Nasional(BN) yang juga penyadang kerusi DUN Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain dijadualkan mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Pontian di Kuala Rompin, manakala Calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemuk di Teluk Gading.

Sebahagian daripada 28,200 pengundi DUN Tioman mula tunai tanggungjawab.

DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru selain Mohd Johari dan Nor Idayu, iaitu Sulaiman Bakar (BEBAS),Osman A. Bakar (PERJUANG) serta Calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Fadzli Mohd Ramly.

Bagi mengelak kekeliruan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan penandaan dakwat pilihan raya pada jari kelingking berbeza dengan kebiasaan tatacara proses mengundi sebelum ini iaitu mencelup jari telunjuk di dalam bekas dakwat.

Langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan petugas pilihan raya kerana kemungkinan kesan dakwat pada jari telunjuk ketika mengundi bagi Parlimen Rompin 19 november lalu masih ada.

Loading...
Terkini