comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: 11 muka baharu di Pulau Pinang, Reezal Merican pertahankan Kepala Batas

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kekal mempertahankan Parlimen Kepala Batas buat penggal ketiga.

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) mencalonkan 11 muka baharu daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-15, yang juga menyaksikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kekal mempertahankan Parlimen Kepala Batas buat penggal ketiga.

Seorang lagi calon yang dikekalkan ialah Datuk Mohd Zaidi Said di Parlimen Permatang Pauh buat kali kedua setelah tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor diangkat ke Parlimen Tasek Gelugor, bagi menggantikan Datuk Shabudin Yahaya yang memenangi kerusi berkenaan pada PRU-14 atas tiket BN, namun lompat parti ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Manakala, Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah yang juga bekas ADUN Teluk Bahang dinamakan sebagai calon Parlimen Balik Pulau.

MCA yang bertanding di enam kerusi Parlimen, iaitu tiga kerusi tradisi, Bukit Mertajam, Bagan dan Bukit Gelugor serta tiga lagi kerusi yang ditandingi GERAKAN sebelum ini, iaitu Tanjong, Bayan Baru dan Batu Kawan telah menamakan semua muka baharu di kawasan terbabit.

Ia termasuk bekas calon DUN Paya Terubong, Wong Chin Chong yang dinamakan di Parlimen Bukit Gelugor.

Menariknya, kali ini UMNO melepaskan kerusi Parlimen Nibong Tebal bagi memberi peluang kepada Friends of Barisan, dengan menamakan Presiden Malaysia Makkal Sakti Parti, Datuk Seri R.S. Thanenthiran di kerusi berkenaan.

Dua lagi kerusi GERAKAN sebelum ini turut diperuntukkan kepada Friends of BN, iaitu T.Loganathan (Indian Progressive Front-IPF) di Parlimen Jelutong dan Razalif Zain (Parti Cinta Malaysia-PCM) di Bukit Bendera.

Loading...
Terkini