comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: 14 kertas siasatan dibuka, 2 individu ditahan – Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penganjuran 432 ceramah politik tanpa permit sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semalam, berbanding 46 pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata Sabah muncul negeri merekodkan jumlah tertinggi dengan 425 ceramah tanpa permit, diikuti Selangor (tiga), Kelantan (dua) dan masing-masing satu di Perlis serta Pahang.

Beliau berkata, polis mengeluarkan 1,037 permit mengadakan ceramah sepanjang kempen PRU-15, semalam, meliputi 137 di Kedah, Negeri Sembilan (172), Perak (155), Selangor (147), Pahang (131), Kelantan (98), Melaka (54), Sarawak (44), Pulau Pinang (22), Perlis (21) dan Kuala Lumpur (20).

“Kita turut membuka 14 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk menghasut, ugutan jenayah, serta merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik serta calon, semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hazani yang juga Pengarah Operasi PRU-15 PDRM berkata, ia membabitkan siasatan tiga kes di Melaka; masing-masing dua di Kedah, Negeri Sembilan dan Johor; serta masing-masing satu di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak.

Beliau berkata, dua individu turut ditahan di Perak dan Terengganu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat. – BERNAMA

Loading...
Terkini