comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: 146,737 anggota ATM dan pasangan buang undi awal Selasa depan

PETALING JAYA: Seramai 146,737 anggota Angkatan Tentera Malaysia, ATM dan pasangan terlibat dalam undi awal Pilihan Raya Umum, PRU-15, Selasa depan.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam kenyataan memaklumkan 153 pusat mengundi awal ATM telah diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR di seluruh negara.

Kata beliau, proses buang undi bagi anggota yang didaftar sebagai pengundi pos telah bermula pada 7 November lalu hingga 19 November depan sebelum jam 5 petang setelah menerima Sampul Keutamaan Kertas Undi Pos, (SKKUP), yang dikeluarkan Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya.

Tegasnya adalah menjadi harapan ATM agar proses pengundian berkenaan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi sah.

ATM katanya sentiasa menyokong proses dan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan sentiasa berpegang kepada norma integriti dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara.

ATM turut bersedia menghulurkan bantuan kepada SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan proses pengundian PRU-15, lancar.

Pada masa sama, memastikan keselamatan dan kesejahteraaan rakyat sentiasa terpelihara daripada kejadian tidak diingini sepanjang proses pengundian dan apabila keputusan PRU diumumkan kelak.

Loading...
Terkini