comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: 18, 19 Nov ditetapkan hari kelepasan am 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan 18 dan 19 November ini (Jumaat dan Sabtu) sebagai Hari Kelepasan Am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan berita gembira itu pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Tanah CUEPACS Pancarona, Presint 18 di sini hari ini.

“Kerajaan juga bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi bulan ini diawalkan pada 17 November dan bagi pesara pula, bayaran pencen diawalkan pada hari ini. Perkara ini diharap dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Selain itu, bagi memudahkan pengundi balik mengundi, Perdana Menteri mengumumkan, 30 konsesi lebuh raya bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari kepada pengguna.

“Tol percuma tersebut akan bermula dari jam 12.01 pagi 18 November hingga 11.59 malam pada 19 November melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 sahaja yang dianggarkan sekitar 90 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuhraya,” katanya.

Beliau berkata, implikasi kewangan daripada inisiatif itu akan diserap sepenuhnya oleh syarikat-syarikat konsesi lebuhraya sebagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta.

Menurutnya, tawaran pemberian tol percuma berkenaan diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuhraya pada minggu lalu.

“Melalui inisiatif itu, kerajaan berharap akan ia dapat meringankan serba sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warga negara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan pada setiap lima tahun sekali,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan beberapa imbuhan kepada penjawat awam yang diumumkannya semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-18 pada 30 Ogos lalu yang juga terkandung di dalam Bajet 2023 akan dilaksanakan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) diberikan mandat semula selepas PRU-15.

Antara imbuhan itu termasuk Kenaikan Gaji Tambahan (KGT) Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56, selain Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan satu juta pesara kerajaan sebanyak RM350.

Imbuhan lain merangkumi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada bulan Mac 2023, kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari, selain kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus juga akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari.

Loading...
Terkini