comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: 50 inisiatif buat keluarga Jelebu jika BN menang – Jalaluddin

Calon BN Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias melancarkan Tekad BN Untuk Keluarga Jelebu di Simpang Durian malam tadi. – Foto Abnor Hamizam Abd Manap

JELEBU: Bantuan awal persekolahan RM200 kepada pelajar golongan B40 dan sumbangan RM300 dan 30 kilogram beras kepada pasangan yang bakal berumah tangga.

Itu antara inisiatif diperkenalkan Barisan Nasional (BN) Parlimen Jelebu jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan BN membentuk kerajaan.

Selain itu, bantuan khas sekali bayar berjumlah RM1,000 kepada semua anak Jelebu dan bantuan komputer riba kepada pelajar daripada keluarga asnaf yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam atau swasta, kelas tambahan mata pelajaran terpilih di setiap DUN untuk pelajar SPM turut ditawarkan kepada penduduk parlimen itu.

Tawaran lain ialah kursus perkahwinan percuma akan diadakan di setiap Dewan Undangan Negeri ( DUN) di Parlimen Jelebu bagi meringankan golongan belia yang mahu mendirikan rumah tangga.

Calon BN Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata insiatif berkenaan antara 50 inisiatif daripada lima teras utama yang ditawarkan kepada penduduk di Parlimen Jelebu.

Inisiatif untuk tempoh lima tahun itu ditawarkan kepada seluruh rakyat Jelebu tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan latar belakang politik.

“Dikenali sebagai Tekad BN Untuk Keluarga Jelebu, ia dirancang sejak tiga bulan lalu ketika saya memikirkan apa yang belum dibuat dan mahu dilakukan di Jelebu sehingga akhirnya dimuktamadkan menerusi Tekad BN ini.

“Tekad BN ini adalah komitmen untuk diberikan kepada rakyat sekiranya BN mentadbir negara. Ada antara inisiatif sudah dilaksanakan sebaik saya menjadi Ahli Parlimen pada 2008 lalu namun ia ditambah baik dan Tekad BN ini didokumenkan supaya menjadi rujukan penduduk Jelebu,” katanya pada Majlis Pelancaran Tekad BN Untuk Keluarga Jelebu di Pusat Arahan Chennah Dua, Simpang Durian di sini.

Jalaluddin berkata, lima teras diperkenalkan adalah kecemerlangan pendidikan; meraikan peranan wanita dan belia; meningkatkan tahap pembangunan infrastruktur, fasiliti dan alam sekitar; kebajikan rakyat, kesejahteraan komuniti dan pemantapan institusi keagamaan dan bantuan sektor pertanian, komoditi dan perniagaan.

Beliau berkata, inisiatif lain yang ditawarkan kepada penduduk Jelebu adalah program lesen percuma bagi belia Orang Asli berusia 16 hingga 20 tahun bermula tahun depan.

“Bantuan khas kepada pemilik kebun yang terjejas hasil pertanian akibat bencana alam seperti banjir antara inisiatif yang turut ditawarkan,” katanya.

Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu, berkata selain itu, sasaran untuk pembinaan 1,000 buah rumah mampu milik dalam tempoh lima melalui kerjasama pelbagai agensi untuk golongan muda dan mereka yang memerlukan juga merupakan inisiatif yang ditawarkan menerusi Tekad BN.

Justeru, Tekad BN akan mula diedarkan esok kepada orang ramai melalui Pusat Daerah Mengundi (PDM ). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini