comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15 : 52 lokasi panas berpotensi cetus insiden jejas ketenteraman

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, meninjau Pusat Penamaan Calon, Parlimen Lembah Pantai (P121) di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, hari ini. – Foto: NSTP/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR: Sebanyak 52 lokasi panas atau ‘hotspot’ di seluruh negara dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diberi perhatian serius sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Semua 52 lokasi berkenaan adalah daripada 292 keseluruhan kawasan yang sebelum ini dikesan berlakunya insiden yang boleh berlaku kejadian mengganggu-gugat ketenteraman awam, sebelum ditapis oleh Cawangan Khas, Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata selepas dikaji dan diperhalusi, PDRM secara keseluruhan mengenal pasti 52 kawasan panas yang harus diberikan tumpuan secara lebih tegas.

“Kawasan panas ini adalah terma yang digunakan oleh pihak kita (PDRM) untuk mengklasifikasikan kawasan ini sebagai lokasi yang mudah berlakunya insiden yang memecah keamanan dan mengganggu ketenteraman awam.

“Ia bukan hanya masalah yang membabitkan isu politik tetapi turut didorong masalah membabitkan antara penduduk setempat di lokasi berkenaan, seperti penduduk berebut tempat letak kereta, berebut kerusi ketika makan di gerai atau restoran terlanggar bahu serta masalah membabitkan perkauman,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita ketika melawat lokasi Pusat Penamaan Calon, Parlimen Lembah Pantai (P121) di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, meskipun masalah yang dijangkakan itu adalah remeh, ia boleh menjadi masalah besar jika tidak ditangani dari awal.

“Setakat ini, berdasarkan daripada tempoh pembubaran Parlimen, sebanyak 115 laporan polis berkaitan 24 insiden membabitkan pelbagai isu politik dilaporkan.

“Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, untuk membuat statistik harian bagi memaklumkan masyarakat untuk menunjukkan kita lebih bertanggungjawab,” jelasnya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini