comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Abdul Rani Kulup Umum Tanding Parlimen Port Dickson

Abdul Rani mengumumkan akan bertanding di Parlimen Port Dickson. 

PORT DICKSON: Aktivis masyarakat yang dikenali dengan nama Abdul Rani Kulup Abdullah mengumumkan akan bertanding di Parlimen Port Dickson mewakili Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN).

Abdul Rani, 67, atau popular dengan panggilan Ayahanda dijangka berdepan saingan sengit daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili Pakatan Harapan (PH) dan pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat keputusan menyertai politik selepas 22 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sudah lama sejak PRU-14 lalu.

“Port Dickson adalah Bandar Tentera Darat dan saya mahu di sini juga wujudnya Kampung Tentera Darat kerana di sini lahirnya pahlawan negara.

“Kalau ikutkan hati, saya mahu bertanding di semua kerusi parlimen namun saya perlu bermula di sini,” katanya dalam satu sidang media di sini petang tadi.

Katanya, parti BPN juga sudah mengumumkan akan bertanding di semua kerusi parlimen.

“Saya bekas tentera yang berpencen sejak 1995 selepas berkhidmat selama 22 tahun dan saya percaya boleh membantu bukan saja warga tentera tetapi juga orang awam.

“Selama ini saya banyak bergerak mewakili NGO berjumpa wakil rakyat untuk membantu orang ramai dan kini sampailah waktunya saya berkhidmat sebagai wakil rakyat,” katanya.

Abdul Rani berkata, tujuannya masuk politik bukanlah untuk bersaing dengan sesiapa atau parti politik tetapi hanya mahu berbakti kepada masyarakat.

“Sebelum ini saya berjumpa orang ramai di bawah pokok dan jujurnya saya ikhlas memperjuangkan nasib masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Port Dickson sudah dikenali sebagai Bandar Tentera Darat dan saya percaya semua warga tentera akan menganggap Port Dickson adalah ‘kampung’ mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau amat berharap agar pengundi di Port Dickson memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat secara sah di sini.

“Saya akan berkampung di Port Dickson sebaik penamaan calon pada 5 November ini sehingga hari terakhir pengundian nanti.

“Kalau boleh, pengundi berilah peluang untuk saya berkhidmat kerana saya pasti banyak perkara yang saya boleh bantu masyarakat melalui sidang Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, ramai yang curiga peluangnya menang kerana kerusi Parlimen Port Dickson adalah kerusi panas.

“Saya tidak peduli siapa lawan saya atau parti politik mana tetapi yang pasti, saya mahu menawarkan diri berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Dalam tentera saya sudah berkhidmat selama 22 tahun dan pangkat terakhir ialah Rejimen Sarjan Mejar (RSM) yang pastinya dapat membantu dalam mentadbir sebaik mungkin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan BPN adalah parti politik baharu ditubuhkan oleh sekumpulan ahli perniagaan dan bertanding di 160 kerusi parlimen pada PRU-15.

Presidennya, Datuk Ibrahim Yahaya berkata, kebanyakan kerusi itu terletak di Semenanjung manakala yang lain di Sabah dan Sarawak. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini