comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Adakah ini pengakhirannya? Pasti tidak – KJ

Khairy Jamaluddin. – Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh yang juga ahli Umno Khairy Jamaluddin menganggap kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukanlah pengakhiran dunia politiknya.

Biarpun masih belum memutuskan apa yang akan dilakukan selepas ini, beliau dilihat akan mencari punca sebenarnya dan kembali bangkit selepas ini.

“Adakah ini pengakhirannya? Pasti tidak. Saya mahu merenung perkara ini sebelum memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Sebenarnya saya keletihan.

“Saya tidak ada masa untuk berehat sejak ditugaskan untuk menguruskan pandemik COVID-19. Ia adalah dua tahun yang sukar bagi saya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Bagaimanapun, Khairy berkata, ia adalah satu keistimewaan buat dirinya apabila sebelum ini ditugaskan untuk berkhidmat kepada negara selain gembira dengan pencapaian Malaysia yang pulih lebih baik daripada kebanyakan negara lain.

Khairy juga mengakui pilihan raya berfungsi sebagai cara untuk mengukur populariti dan prestasi seseorang ahli politik.

“Saya sudah mencuba yang terbaik, tetapi saya tidak cukup bagus. Kalah tetap kalah, tidak kira berapa dekat (dengan kemenangan) atau berapa ramai yang meluahkan kekecewaan atas kekalahan anda,” katanya.

Semalam, bekas Menteri Kesihatan itu tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Datuk R Ramanan dengan majoriti 2,693 undi selain menyaksikan Parlimen tergantung yang pertama kali berlaku.

Malah, beliau menganggap ini adalah perkara luar biasa kerana tiada gabungan yang berjaya memenangi jumlah majoriti kerusi Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Saya berharap calon yang dipilih melaksanakan tugas dengan penuh bijaksana dan belas kasihan kerana negara memerlukan kestabilan dan kepimpinan lebih baik daripada sebelumnya. Saya doakan yang terbaik untuk anda semua,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini