comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PASCA PRU-15: Agong perkenan tempoh kemuka nama calon PM dilanjut esok

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan parti politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri ke-10 dilanjutkan sehingga jam 2 petang esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan daripada ketua parti politik dan gabungan parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.

“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal PM ke-10 selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berialan seperti biasa di bawah pengurusan PM Sementara atau ‘Caretaker Prime Minister’ berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).

Seri Paduka Baginda juga menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal PM ke-10 dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.

“Baginda seterusnya turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media memohon tempoh penyerahan surat akuan berkanun (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong dilanjutkan bagi membolehkan rundingan bersama gabungan lain diadakan.

Semalam, Seri Paduka Baginda menitahkan ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak memaklumkan kepada Istana Negara sebelum 2 petang hari ini bagi pembentukan kerajaan baharu.

Loading...
Terkini