comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: AMANAH tanding empat Parlimen di Pahang

PRU-15: AMANAH tanding empat Parlimen di Pahang

KUANTAN: Parti Amanah Negara (AMANAH) akan bertanding 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat Parlimen di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi AMANAH Pahang, Zulkifli Mohamed, berkata parti itu menampilkan dua calon wanita di DUN Tanjung Lumpur dan Guai.

Katanya, sebahagian besar calon berkenaan terdiri daripada kumpulan profesional dan ahli perniagaan.

“Pada PRU15, AMANAH Pahang akan bertanding 16 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen berbanding 11 DUN dan satu Parlimen pada PRU14.

“Kita yakin 20 calon ini akan membantu untuk memenangi kerusi pada pilihan raya kali ini,” katanya di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, beliau akan bertanding di DUN Beserah.

Kelmarin, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan empat calon parti berkenaan akan bertanding di Parlimen Pahang.

Mereka ialah Ahmad Azam Mohamad Salleh yang akan bertanding di Parlimen Paya Besar, Ahmad Shuhor Awang (Maran), Juhari Osman (Kuala Krau) dan Mohd Hasbie Muda (Temerloh).

Pahang mempunyai 14 kerusi Parlimen dan empat daripadanya akan diwakili parti AMANAH, manakala bakinya akan diumumkan komponen parti, iaitu PKR dan DAP.

Pada PRU-14 lalu, PH memenangi empat kerusi iaitu Bentong, Temerloh, Raub dan Kuantan, sembilan kerusi milik Barisan Nasional (BN), manakala satu kerusi pula milik Perikatan Nasional (PN) di Indera Mahkota.

Di peringkat DUN pula, PH memenangi sembilan kerusi, 25 kerusi milik BN, manakala PAS pula memenangi lapan daripada 42 semua kerusi DUN. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini