comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Anwar tiada masalah jika tidak dicalonkan sebagai PM

Foto: NSTP

ARAU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berlapang dada sekiranya beliau tidak lagi dicalonkan parti gabungan itu untuk menjadi Perdana Menteri selepas ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, tiada masalah baginya untuk melepaskan pencalonan itu memandangkan ramai lagi pimpinan muda dalam PH yang lebih berkelayakan untuk ditampilkan sebagai Perdana Menteri.

“Tiada sebab saya terlalu mengejar jawatan Perdana Menteri sekiranya PH berjaya memerintah negara.

“Ramai cakap saya gila nak jadi Perdana Menteri sedangkan semua orang tahu kalau saya nak jawatan itu, sejak tahun 1999 lagi saya dah boleh jadi Perdana Menteri. Bukan susah pun, cium sahaja tangan orang tua itu (Tun Dr Mahathir Mohamad), selesailah.

“Namun, bukankah 15 ahli Parlimen UMNO sebelum ini turut nyata sokongan kepada saya untuk jadi Perdana Menteri dan mereka turut mempersembahkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Majlis Kenduri Rakyat di Kampung Mengkuang Layar, Tambun Tulang, di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden PKR dan calon PH Parlimen Tambun berkata, beliau bagaimanapun mengambil pendirian tidak menandatangani dokumen sokongan berkenaan.

“Ini disebabkan UMNO menetapkan syarat kalau nak jadi Perdana Menteri, saya kena selamatkan dulu kes mahkamah pemimpin mereka.

Kalau saya ketagih sangat nak jadi Perdana Menteri, mesti saya dah tandatangan dokumen itu,” katanya

Hadir sama sewaktu Kenduri Rakyat itu adalah calon dan pimpinan PH negeri Perlis yang turut sama menyampaikan ucapan masing-masing pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar turut menempelak kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan beliau hanya sekadar layak menjadi ‘PM tepi’ dan gagal menguruskan pandemik COVID-19 dengan sebaiknya sewaktu PH memerintah.

“Saya juga tahu, Muhyiddin sewaktu menjadi Menteri Besar Johor pun habis dilelong semua tanah di sana.

“Saya tahu semuanya,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 800 orang penyokong PH hadir dalam majlis berkenaan.

Loading...
Terkini