comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Azalina Akan Teruskan Perjuangan Politik Ibu, Ayah

 

Penyandang kerusi Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, akan meneruskan perjuangan politik ibu dan ayahnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ayah dan ibu saya kedua-duanya adalah orang UMNO dan Barisan Nasional (BN). Saya dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga ini.

“Jadi, insya-Allah semangat perjuangan mereka akan saya bawa seandainya saya dicalonkan dalam PRU-15 akan datang,” katanya selepas selesai menghadiri pengebumian ibunya, Datin Salamah Sheikh Ahmad, di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Allahyarham Salamah, yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), awal pagi tadi selamat dikebumikan pada 2.20 petang tadi.

Pada 29 Julai lalu, Azalina kehilangan ayahnya, Datuk Othman Said, yang meninggal dunia pada usia 89 tahun di kediamannya di Kelana Jaya kerana sakit tua.

Reda dengan kehilangan kedua-dua orang tuanya, Azalina menyifatkan pemergian ibunya yang masih dalam tempoh edah selepas kematian Othman sebagai sebuah cinta sejati.

“Memang saya sedih dengan kehilangan kedua-dua orang tua saya. Pemergian mereka dalam jarak tempoh yang dekat, tapi mungkin ini cinta sejati, rezeki mereka,” katanya.

Selesai memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ibunya, Azalina turut menziarahi pusara ayahnya yang dikebumikan di tanah perkuburan sama. – BERNAMA

Loading...
Terkini