comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Bekas ‘Bos Kecil’ Lawan ‘Bos Besar’ Di Sepanggar

Datuk Mohd Azis Jamman dan Jumardie Lukman

KOTA KINABALU: Parlimen Sepanggar bakal menyaksikan pertembungan anak muda dalam usaha meraih pengundi muda atau Undi18 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bermula dengan penyandangnya, Datuk Mohd Azis Jamman yang diumum dicalonkan semula Parti Warisan (Warisan) beberapa hari lalu, seorang lagi calon muda menyusul, semalam.

Calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Jumardie Lukman yang berumur 40 tahun bakal mencabar Mohd Azis, 47 yang sebelum ini pernah menjadi bosnya.

Jumardie adalah bekas Ketua Wira Warisan Sepanggar antara 2018 hingga awal Januari tahun ini di bawah sayap Wira Warisan yang diketuai Mohd Azis sebelum ini.

Pertembungan kedua-dua mereka juga boleh diumpamakan seperti bekas ‘bos kecil’ lawan ‘bos besar’, namun kedua-duanya kini memegang jawatan ‘besar’ dalam parti masing-masing.

Mohd Azis kini adalah Ketua Penerangan Warisan selepas tidak bertanding semula untuk jawatan Ketua Wira Warisan pada pemilihan parti itu baru-baru ini, manakala Jumardie kini adalah Ketua Pemuda Parti KDM, selain kedua-duanya juga adalah Ketua Bahagian Sepanggar parti masing-masing.

Jumardie sebelum ini menyertai bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony keluar daripada parti itu pada Disember tahun lalu sebelum menubuhkan Parti KDM pada Februari lalu.

Peter yang juga Presiden Parti KDM mengumumkan nama Jumardie sebagai calon parti berkenaan di kerusi Parlimen Sepanggar pada sidang medianya semalam.

Sementara itu, Mohd Azis yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri mempertaruhkan rekod perkhidmatannya selama sepenggal di Parlimen Sepanggar selepas memenanginya dengan majoriti 12,984 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada PRU-14.

Dalam pada itu blok kerajaan dijangka sekali lagi mempertaruhkan calon dari Umno/ Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi Sepanggar yang sebelum PRU-14 dikuasai parti itu.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini