comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: BN dan GPS ibarat pasangan bakal bernikah – Abang Johari

Ismail Sabri dan Abang Johari pada majlis perasmian Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak Seksyen Selangau WPC08, hari ini. – Foto: NSTP

SELANGAU: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg menyifatkan hubungan gabungan parti tempatan Sarawak pimpinannya dengan Barisan Nasional (BN) ibarat pasangan yang sedang bercinta.

Kata-kata beliau “Kinek tuk masih bergerek. Sik lamak agik akad nikahlah,” dalam bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud “ketika ini masih dalam fasa bercinta, tak lama lagi akan bernikah” merujuk kepada kiasan yang sering beliau ungkapkan mengenai cubaan parti politik dari Semenanjung yang mahu menjalin kerjasama dengan GPS.

Sebelum itu, wartawan bertanya adakah GPS sudah menerima tawaran rasmi daripada pakatan parti politik Semenanjung untuk menjalin kerjasama.

Sejurus beliau menjawab soalan itu, Abang Johari menerangkan maksudnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pada mulanya kelihatan keliru mendengar istilah ‘begerek’.

Abang Johari menerangkan kepadanya perkataan itu bermaksud sedang bercinta atau ‘dating’.

Selepas memahami maksud ‘begerek’ itu, Ismail Sabri secara sepontan berkata “ya, sedang datinglah ni.”

Abang Johari sebelum ini beberapa kali secara berkias menyifatkan GPS umpama gadis cantik yang menarik minat ramai lelaki untuk menagih cintanya.

Ia berikutan GPS diintai beberapa pakatan parti politik Semenanjung untuk menjalin kerjasama dengan mereka bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Loading...
Terkini