comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: BN komited tambah pendapatan rakyat miskin

Datuk Seri Bung Moktar Radin (tengah) bersama penyokong BN ketika kempen untuk calon BN Parlimen Beaufort di Beaufort. – FOTO: Ihsan BN Sabah

BEAUFORT: Barisan Nasional (BN) tidak akan melupakan janjinya termasuk menambah pendapatan bulanan isi rumah berpendapatan di bawah garis kemiskinan yang digariskan dalam manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rakyat Sabah perlu yakin terhadap janji dalam manifesto yang dibentangkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu kerana BN komited untuk menunaikan apa yang dijanjikannya.

Katanya, tambahan pendapatan itu penting bagi mengatasi isu kemiskinan dan memastikan isi rumah berpendapatan di bawah RM2,208 sebulan menerima pendapatan yang mencukupi untuk meletakkan mereka di atas garis kemiskinan.

“Bagi ibu bapa dalam kategori B40 yang berpendapatan RM1,500 sebulan, maka mereka akan diberi ‘topup’ sebanyak RM708 setiap bulan dan jika pendapatan mereka RM1,000 maka dapat RM1,208 setiap bulan.

“Kita (BN) akan melaksanakan ini untuk memastikan tiada lagi rakyat di Sabah ini berada di bawah garis kemiskinan. Pendapatan garis kemiskinan kita ketika ini ialah RM2,208,” katanya ketika berkempen untuk calon BN Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching, di sini, petang semalam.

Ketika membentangkan PADU Selasa lalu, Ahmad Zahid berkata pendekatan itu adalah satu revolusi besar-besaran dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara yang dikenali sebagai skim bantuan pendapatan asas.

Melalui skim itu, katanya kerajaan akan mengkreditkan atau memasukkan secara automatik kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208 bagi memastikan semua isi rumah seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

Berikutan itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata pengundi di negeri ini perlu menyokong calon BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kemenangan besar BN agar manifesto PADU yang dibentangkan BN dapat direalisasikan.

Katanya, selain pendapatan bulanan, inisiatif BN jika berjaya membentuk kerajaan pada 19 November ini yang turut merangkumi penyediaan pendidikan awal kanak-kanak bawah enam tahun dan kemasukan ke pengajian tinggi secara percuma bagi golongan B40 juga berlandaskan usaha mengurangkan beban rakyat.

“Kita tahu rakyat sekarang tidak boleh dibodoh-bodohkan, kalau kita tidak tunaikan janji, bermakna kerajaan kita selepas ini hanya akan bertahan sepenggal saja.

“Kalau tidak boleh buat, jangan berjanji tetapi BN lain, apa yang kita janji dalam manifesto pasti kita akan tunaikan kerana apa yang dijanjikan itu adalah realisitik,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga calon BN di kerusi Parlimen Kinabatangan menyatakan keyakinannnya terhadap kemampuan BN memenangi kerusi Parlimen Beaufort yang sebelum ini disandang Datuk Azizah Mohd Dun (GRS-BERSATU).

Katanya, kemenangan itu dapat diterjemahkan menerusi kerjasama GRS dan BN pada PRU-15 ini sejajar kesepakatan di antara beliau dengan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS.

BN dan GRS membentuk kerjasama menghadapi PRU-15 bagi menjaga kestabilan kerajaan negeri yang dipimpin kedua-dua gabungan berkenaan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada September 2020. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini