comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: BN kotakan janji dalam manifesto – Ku Nan

Calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. – CMS HOT SEAT PUTRAJAYA

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Segala tawaran yang dikemukakan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) akan direalisasikan jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti pelbagai bangsa dan agama itu sentiasa mengotakan janji kerana meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

“Kita (BN) kotakan apa kita kata (dalam manifesto). Dia (Datuk Dr Radzi Jidin) punya parti (Perikatan Nasional – PN) apa yang dia kotakan? Tanya dia,” katanya ketika ditemui pada program mendekati pengundi di Pasar Malam Presint 2 di sini hari ini.

Beliau membuat respons balas susulan kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Radzi yang menyifatkan sebahagian tawaran BN sebagai populis dan ‘diciplak’ daripada manifesto PN.

Terdahulu, calon PN Parlimen Putrajaya yang juga ditemui pada program sama itu berkata, tawaran PN Best adalah komprehensif dan realistik kerana mengambil kira semua aspek kehidupan rakyat serta menyentuh perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Baru-baru ini, Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan manifesto dengan menampilkan ‘Perancangan Amal Dan Usaha’ (PADU) BN bertemakan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.

PADU mengandungi 99 amal dan usaha BN mengemudi Malaysia ke arah negara maju jika diberi mandat pada PRU-15.

Selain itu, Datuk Seri Tengku Adnan yang mesra dikenali ‘KuNan’ berkata BN adalah parti ‘daripada rakyat, oleh rakyat dan kepada rakyat’.

Menurutnya, semua ahli BN diterapkan dengan prinsip supaya memastikan terdapat makanan, kediaman, pendidikan dan peluang pekerjaan atau perniagaan buat rakyat.

“Kita sedih apa yang berlaku selepas PRU-14. Kita berharap rakyat akan memberi peluang bagi kita buktikan dan membawa Malaysia bergerak ke hadapan serta ke arah lebih baik. Malaysia mesti bangkit semula,” katanya.

Pada PRU-15, penyandang kerusi Parlimen Putrajaya selama empat penggal itu berdepan saingan enam penjuru iaitu Datuk Dr Radzi; calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG); Datuk Mohd Rosli Ramli; calon Pakatan Harapan (PH), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz serta dua calon bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

Loading...
Terkini