comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15 : BN Perak Umum Calon 2 November

IPOH : Barisan Nasional (BN) Perak akan mengumumkan senarai calon kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seawal 2 November.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, senarai muktamad daripada BN Pusat dijangka diterima pada 1 November dan tidak akan melanjutkan tarikh pengumuman sehingga 4 November yang jatuh pada hari cuti umum di Perak.

“Saya jangka senarai itu akan sampai ke tangan kita pada 1 November, jadi 2 November kita sudah boleh buat pengumuman.

“Saya nak elak tarikh itu sehingga Jumaat kerana pejabat tutup disebabkan cuti umum.

“Saya kena ambil kira 4 November hari cuti di Perak kerana mungkin ada kakitangan kerajaan yang harus melalui proses meletak jawatan (sebelum menjadi calon).

“Seboleh mungkin kita nak elak lanjut sampai 4 November,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan YTL Communications Sdn Bhd, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.

Tarikh 4 November yang jatuh pada Jumaat pertama November adalah sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah.

Keesokannya iaitu 5 November adalah hari penamaan calon PRU15 seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saarani yang juga Menteri Besar Perak turut mengingatkan parti bertanding supaya mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama dari segi pemasangan bahan kempen seperti bendera parti dan gegantung.

“Ceramah dan pasang bendera parti ini tertakluk kepada peraturan PBT masing-masing kerana peraturan SPR hanya bermula selepas penamaan calon.

“Perlu ada permohonan, kalau lulus bolehlah. Kalau tidak, ikut peraturan sebelum ini,” katanya.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan 24 kerusi Parlimen. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini