comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: BN tidak tiru manifesto PN

KUALA NERANG : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan tidak timbul isu manifesto BN meniru manifesto parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana tawaran yang diberikan kepada rakyat adalah berasaskan kepada realiti.

Beliau berkata, parti lain tidak perlu mendakwa kononnya tawaran tertentu dalam manifesto sebagai hak mereka, memandangkan perkara lebih penting ialah membantu rakyat.

“Sebenarnya apa yang penting tawaran kepada rakyat. Bukan nak bergaduh fasal manifesto kerana yang kita mahu sekarang, apa manfaat yang rakyat boleh dapat berasaskan kepada realiti dan praktikal. Itu sahaja,” katanya selepas menghadiri program gotong-royong di Kubang Kenyeng, di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa BN meniru manifesto PN, berhubung isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.

Hamzah berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memasukkan isu berkenaan dalam manifesto BN ketika menjadi Menteri Dalam Negeri, sebelum ini.

Mahdzir, berkata BN merangka manifesto secara teliti dengan mengambil kira pandangan banyak pihak, termasuk ahli akademik, profesional serta teknokrat.

 

Sementara itu mengulas mengenai kempen PRU-15 yang masih berpaksikan tuduhan palsu dan fitnah, Mahdzir berkata pembangkang akan menggunakan apa sahaja kaedah untuk mencipta naratif negatif.

“Sebab itu saya fikir dalam naratif dan optik pembangkang memang macam itu untuk mencari sebab untuk attack (serang), jadi tak terkecuali dengan siapa-siapa yang ada dalam institusi ini termasuk yang dalam kerajaan akan jadi sasaran,” katanya.

Loading...
Terkini