comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: BN yakin dapat tawan Kuala Selangor dan Sungai Buloh

Foto NSTP

KUALA SELANGOR: Barisan Nasional (BN) yakin dapat merampas dua kerusi Parlimen yang disandang Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh dan Kuala Selangor, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), Sabtu ini.

Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia dapat dilihat daripada semangat pengundi di dua kawasan berkenaan, yang turun pada kempen-kempen BN sejak minggu lepas.

“Ini satu petanda baik, tetapi saya mahu nasihatkan kepada jentera kita supaya jangan toleh ke belakang dan teruskan momentum, kerana tinggal beberapa hari lagi untuk mengundi yang merupakan tarikh keramat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri karnival sukan bola sepak di Bestari Jaya di sini.

Turut hadir calon BN bagi Parlimen Kuala Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Hishammuddin berkata beliau yakin, Tengku Zafrul mampu memberikan khidmat yang cemerlang sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan, sekiranya beliau dipilih nanti.

“Saya kenal Tengku Zafrul dan kalau dia diberi peluang untuk bersama-sama dengan masyarakat Kuala Selangor, saya percaya beliau dapat menyumbang untuk membangunkan kawasan ini dan akan membantu semua penduduk Kuala Selangor tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.

Dalam pada itu Hishammuddin menyelar kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, bahawa mengadakan PRU15 pada musim monsun timur laut adalah satu kesilapan.

Beliau berkata Amirudin sepatutnya sedar dengan kenyataannya itu, kerana beliau antara pemimpin yang dicalonkan paling awal bertanding untuk mewakili PH di Parlimen Gombak.

“No retreat no surrender, kita sudah pun bubar Parlimen, malah calon kita pun sudah kenal, tinggal beberapa hari sahaja untuk kita mengundi, teruskan sahaja pilihan raya ini, bring it on,” katanya.-BERNAMA

Loading...
Terkini