comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: BN yakin tawan semula Titiwangsa, Pagoh

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yakin mendapat majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk menawan kawasan panas seperti Titiwangsa dan Pagoh, seterusnya menerajui kembali kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, keyakinan itu berdasarkan maklumat terkini kajian di lapangan selepas seminggu berkempen.

Selain itu, katanya keyakinan itu berdasarkan jumlah stok pengundi putih di satu-satu kawasan dan kesiapsiagaan jentera serta keupayaan menguruskan krisis terutama selepas penamaan calon dan keupayaan jentera kempen.

“Kita sedang memerhatikan kawasan kita bertanding dan berjaya menguruskan ‘damage control’ di beberapa kawasan dan InsyaAllah kita mendapat 112 kerusi menghampiri angka majoriti mudah untuk kembali menjadi kerajaan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Barisan Nasional (BN) di Menara Dato’ Onn hari ini.

Ahmad Shabery menjelaskan keyakinan itu juga selepas BN berjaya melalui fasa pertama peringkat penamaan calon apabila berjaya mengawal kerosakan akibat rasa tidak puashati mereka yang tidak dicalonkan.

“Pertikaian dan perbedaan pendapat juga berjaya diuruskan dan kini kita mengemaskini jentera dan mengeluarkan pengundi putih dan kelabu,” katanya

Beliau menjelaskan maklum balas yang diperoleh mendapati ada kawasan yang dirasakan sukar tapi sebaliknya berlaku.

“Ada kawasan yang senang kerana tak ada ‘damage control’ , lagipun ada jentera sudah bermula awal sejak penamaan calon dan berjalan dengan lancar.

“Sebagai contoh kerusi Titiwangsa, di sana tempat yang rancak dan kita percaya kita akan beroleh kemenangan daripada kekalahan yang lalu.

“Kita rasa yang menarik juga ada kerusi panas contohnya Pagoh, kita rasa BN akan menang pada kali ini,” katanya.

Mengulas mengenai kerusi Pagoh yang diterajui Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin, katanya kajian mendapati BN boleh merampas kembali kerusi itu yang mana Muhyiddin banyak bergantung kepada pengundi Cina, namun kali ini BERSATU bukan lagi parti yang mendapat sokongan daripada masyarakat itu.

Katanya, PAS di kawasan itu lemah dan mereka tidak boleh bergantung kepada kumpulan itu untuk menang kali ini.

“Satu fenomena akan berlaku selepas PRU-15, BERSATU akan kehilangan kepimpinan mereka,” katanya

Ahmad Shabery juga menekan BN mudah mendapat sokongan ramai apabila kali ini parti itu mendapat sokongan parti Gabungan Parti Sarawak (GPS)

Katanya, ini kerana BN satu-satunya parti yang tidak meletakkan calonnya di Sarawak.

“PH dan PN tidak menghormati gabungan di sana (GPS), selepas mereka meletakkan calon di Sarawak.

“Maka sudah tentu mereka ini (GPS) akan menjadi kawan kepada BN dalam perbentukan kerajaan di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, GPS dijangkakan mendapat 26 kerusi daripada 32 yang dipertandingkan.

“PH tidak ada kekuatan di Sabah dan ini kelebihan BN,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai bukti berlakunya pengundian awal bagi PRU-15 membabitkan anggota tentera di Bera, Pahang, katanya Anwar boleh membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya nampak, itu langkah beliau untuk meninggalkan kesan psikologi kepada calon PM kita,” katanya.

Loading...
Terkini